1
Karya-karya seni seharusnya dipamerkan dan bukannya disimpan atau dibiar tersorok dari pandangan orang ramai. Karya-karya seni yang indah dan baik tidak akan berguna jika ianya tidak dikongsikan atau dipamerkan kepada orang ramai. Justeru itu, pameran itu amatlah perlu dalam proses kematangan dan kelangsungan sesebuah karya seni dan seniman itu sekaligus. Seniman itu saling bergantungan dan bukannya wujud secara sendiri tanpa ada perlu sebarang sokongan. Merujuk kepada penulisan Bolt; Reframed Heidegger, (2010) di mana Heidegger ada menjelaskan bahawa seniman bukanlah yang menaikkan seni sebaliknya seniman merupakan sebahagian daripada rangkaian ‘kebertanggungjawaban’ (co-responsible) terhadap keberadaan seni. Seniman merupakan sebahagian daripada elemen-elemen yang ‘menjadikan’ sesuatu itu seni – suatu hubungan yang kompleks mengambil tempat dan kekadang sukar untuk dicapai. Seseorang seniman memerlukan seniman lain, rakan, teman, galeri, kurator, penulis, pengkritik, duit, material dan sebagainya dalam menjayakan sesuatu perhubungan (penghasilan karya) – simbiosis.
Seorang seniman memerlukan seniman yang lain di mana ianya menjurus kepada perkongsian ide, menggarap persoalan dan membuahkan wacana-wacana seni. Justeru itu dapat dilihat beberapa seniman yang bermula dengan bergerak secara berkumpulan sewaktu awal pembabitan dalam dunia seni demi mengumpul pengalaman serta sokongan. Kumpulan seni pada kebiasaannya di inisiasi oleh sekumpulan seniman yang berkerja bersama dengan satu misi dan visi yang dikongsi secara kolektif. Pada pengamatan saya, sesebuah kumpulan diwujudkan atas beberapa sebab yang mana pada kebiasaannya adalah untuk tujuan berkongsi – perkongsian secara fizikal dan ide. Sesebuah kumpulan seni mungkin berkongsi idelogi, fahaman estetika, pandangan politikal, komuniti malahan berkongsi ruang studio dan material serta peralatan.
Dalam melihat mengenai kumpulan seni, kita boleh merujuk kepada sejarah seni Malaysia di mana wujudnya kumpulan-kumpulan seni seperti Wednesday Art Group (1954), Angkatan Pelukis Semenanjung (APS) (1956), Anak Alam (1974), Matahati (1989) dan lain-lain lagi. Dalam bergerak secara kolektif/berkumpulan, setiap individu masih lagi bisa aktif berkarya secara individu dalam mengembangkan amalan seni mereka sendiri. Hal ini terbukti dengan kolektif seni Matahati yang mana mereka telah berjaya sebagai sebuah kumpulan seni dan setiap ahli mereka juga berjaya dalam bidang seni masing-masing. Sebuah kumpulan seni pada harfiahnya tidak menyekat perkembangan seni ahli-ahlinya sebaliknya membantu serta menyokong kepada perkembangan tersebut terutamanya kumpulan seni yang terbina atas dasar persahabatan di mana persahabatan itu lebih dipandang tinggi dan ianya akan kekal dan kepada persahabatan itu disandarkan harapan agar ianya kekal utuh.
2
PAKSI jika dilihat dalam Kamus Dewan Bahasa merujuk kepada teras atau dasar. Ianya juga merujuk kepada ufuk atau tegak dan teguh. PAKSI dari apa yang saya fahami ialah menjadikan sesuatu sebagai teras, tunjang atau titik tengah. PAKSI yang akan diperkatakan dalam esei ini merupakan sebuah kumpulan seni yang ditubuhkan oleh tiga orang seniman muda iaitu Khairul Arshad, Arikwibowo Amril dan Mohd Akhir Ahmad.
“PAKSI merupakan sebuah kumpulan seni eksperimentasi yang mana setiap ahlinya menjadikan proses penubuhan kumpulan ini sebagai salah satu proses pematangan dalam menguji kemampuan serta kekuatan diri mereka. Ianya juga menguji sejauh mana kemampuan mereka untuk berkomunikasi secara berkumpulan dalam melontarkan ide serta mengenai pengurusan diri dalam menjadi seorang seniman yang berjaya.” (temubual bersama Shaika Nadwah; Pengurus PAKSI)
Sepanjang proses penghasilan karya ini, PAKSI berjaya mengenalpasti titik kelemahan diri masing-masing dan seterusnya bersama membaiki kelemahan tersebut secara berkumpulan – simbiosis. Pada awal penubuhannya, setiap seorang daripada mereka hanya berhubungan atas dasar kerja semata, namun lama-kelamaan hubungan itu menjadi semakin akrab dek kerana wacana dan diskusi seni yang sering di adakan mengukuhkan kesefahaman dan mengeratkan hubungan mereka sebagai ahli kumpulan.
“Sememangnya kumpulan ini ditubuhkan secara tidak sengaja pada awalnya, ianya lebih tertumpu kepada kepentingan berkerja yang mana sebagai seorang seniman dalam mengejar impian menjadi berjaya, kebergantungan terhadap entiti (seniman) lain amat perlu. – proses perbincangan, kritikan dan lain-lain. Namun hubungan yang pada asasnya atas dasar kerja semata menjadi semakin akrab dan rapat melalui proses perbincangan dan dialog yang sering diadakan.” (temubual bersama PAKSI)
PAKSI merupakan sebuah kumpulan seni yang menjadikan karya bersifat 2 dimensi (2D) sebagai bentukan asas setiap karya mereka namun ketiga-tiga ahli ini punya tarikan serta kemampuan yang berbeza. Dari sudut pengolahan serta garapan ide juga berbeza-beza mengikut konteks masing-masing. Dalam pameran sulung PAKSI, mereka akan menyajikan para audiens dengan kepelbagaian bentukan karya seni namun kesemuanya berpaksikan kepada satu - HARAPAN.
3
Lewat beberapa hari yang lepas, saya telah ke Studio Batu Belah, Klang untuk bertemu dan berborak santai bersama tiga orang seniman muda yang menggelarkan mereka PAKSI.. Pertemuan untuk lebih mengenali karya mereka yang dijangkakan mengambil masa beberapa jam menjadi satu pertemuan hampir 6 jam. Banyak perkara yang diborak bersama. Satu sesi sembang seni yang santai namun penuh ilmiah.
Setiap daripada mereka tampil dengan body of works yang sangat menarik namun setiapnya berPAKSIkan kepada satu teras yang sama iaitu HARAPAN. Harapan yang bermaksud sesuatu yang diidam-idamkan atau didambakan, sesuatu yang memang diingini oleh seseorang individu atau kelompok masyarakat. Namun harapan merupakan sesuatu yang bersifat ambigus. Ianya penuh dengan ketidakpastian – ianya boleh menjadi yang terbaik atau sesuatu yang berbeza?
Apakah itu HARAPAN? Apakah yang dimaksudkan dengan HARAPAN dan bagaimana harapan itu menggarap kepada pembentukan karya-karya yang dihasilkan oleh ketiga-tiga seniman ini? HARAPAN itu bermaksud sesuatu yang diidamkan atau didambakan. Harapan juga merujuk kepada masa depan yang cerah. Harapan seringkali dihubungkaitkan dengan keindahan, kelangsungan dan kebaikan. Melalui perbualan bersama ketiga-tiga mereka, jelas sekali unsur pengharapan itu wujud – mengharapkan yang terbaik datang dari pameran ini yang semacam satu kelangsungan dalam proses kematangan diri mereka sebagai seorang seniman.
“The goal is to live a full, productive life even with all that ambiguity. No matter what happens, whether the cancer never flares up again or whether you die, the important thing is that the days that you have had you will have lived.” Gilda Radner
Petikan di atas yang di ambil daripada Gilda Radner – seorang pelakon dan ahli komedi yang meninggal dunia akibat kanser ovari – yang tidak putus-putus berharap akan sesuatu yang baik terjadi. Harapan pada hemat saya semacam satu kelangsungan untuk hidup. Setiap malam sebelum kita tidur, pasti kita akan berdoa dan berharap agar kita dijagakan semula di pagi hari. Analogi itu menggambarkan harapan sebagai satu bentuk sisipan kita kepada Tuhan agar kita terus dilangsungkan hidup.
4
Kehidupan perlulah dihargai sama ada baik atau buruk. Apabila kita menghargai kehidupan, kemudiannya barulah kita dapat melihat kepada keindahan kematian. Bagaimana kematian itu sendiri ada wujudnya unsur estetika. Itulah yang cuba disampaikan oleh Arikwibowo Amril. Kehidupan perlulah sentiasa dihargai walau baik atau buruk kerana setiap yang wujud itu ada hikmahnya. Dalam melambangkan kepada kehidupan, Arikwibowo memilih untuk menggunakan rerama sebagai subjek. Apa yang menarik mengenai pemilihan subjek ini bukan sahaja disebabkan oleh pembawaan simbolnya tetapi bagaimana objek harian (mundane) – cenderamata rerama – digunakan dalam proses penghasilan karya beliau untuk pameran ini. Melalui penggunaan objek harian (mundane), Arikwibowo cuba memberikan satu refleksi kepada objek harian juga boleh diangkat dan dijadikan sebagai objek seni (objet trouvé)Rerama menurut Arikwibowo merupakan satu makhluk yang cantik namun ianya rapuh begitu juga dengan kecantikan. Ianya tidak kekal dan akan hilang. Rerama seperti yang diketahui mempunyai jangka hayat yang sangat pendek iaitu kurang dari 12 hari jadi bertepatan dengan konsep kecantikan yang akan hilang juga pada akhirnya. Rerama dipilih sebagai satu analogi kepada kecantikan dan dalam pada masa yang sama diasosiasikan kepada kerapuhan. Kecantikan yang rapuh melahirkan satu harapan. Kita sentiasa mengharapkan kecantikan itu untuk terus kekal lama dan tidak pudar sepanjang masa.
Melalui karya Mahu Hidup 100 Tahun Lagi, kecantikan tersebut digambarkan dengan imej rerama di dalam suasana negative dengan unsur cahaya yang samar-samar. Ianya umpama satu harapan yang tidak dapat ditanggapi oleh kita. Di dalam karya ini dapat dilihat penggunaan cermin sebagai objek yang menyokong kepada ide yang cuba disampaikan – refleksi. Melalui penggunaan cermin, audiens dapat melihat refleksi diri mereka dalam samar-samar yang mana menunjukkan harapan itu sesuatu yang ambigus, tidak dapat dikenalpasti secara tepat akan kewujudannya.
“Saya mengunakan cermin sebagai objek untuk melambangkan refleksi di dalam karya saya kerana pada pendapat saya penampilan kita merupakan refleksi diri kita dan cermin juga merupakan sesuatu yang rapuh – dalam konteks karya ini, rapuh menjurus kepada sikap manusia sendiri yang mahu dipuji dan akan merasa kecewa bila dinilai sebaliknya.” (Temubual bersama Arikwibowo Amril)
Mohd Akhir Bin Ahmad atau lebih mesra disapa sebagai Mat Akhir menghasilkan empat (4) buah karya yang berbentuk appropriation. Appropriation bermaksud penggunaan objek atau imejan sedia ada dengan melakukan sedikit perubahan atau tidak. Jika dilihat pada setiap karya Mat Akhir, jelas dapat dilihat penggunaan unsur appropriation dimana beliau menggunakan imej catan yang terdahulu kemudian ditambah atau diwujudkan situasi baharu dan secara tidak langsung mewujudkan makna dan konteks yang baharu mengikut kesesuaian semasa. Mat Akhir menggunakan beberapa catan old master antaranya ialah The Creation of Adam, Ledang dan lain-lain.
“Epal ni bagi aku semacam satu simbol kepada harapan. Malahan peribahasa Inggeris juga ada mengatakan ‘An apple a day, keeps the doctor away.’ Menunjukkan betapa buah epal ni sebagai simbolik kepada harapan. Bagaimana ianya digunakan, adakah ianya (harapan) disia-siakan atau diaplikasikan sepenuhnya.” (temubual bersama Mat Akhir)
Mat Akhir mengangkat epal sebagai subjek dalam body of work untuk pameran kali ini. Epal menjadi representasi kepada harapan. Seringkali kita lihat epal diasosiasikan dengan buah larangan dalam mitos-mitos dan cerita agama. Selain dikaitkan dengan simbol keagamaan, epal juga diangkat sebagai simbol cinta dan seksualiti dalam dunia seni. Ini terbukti dengan penggunaan imej epal di dalam karya seperti Adam and Eve yang menggambarkan epal sebagai buah larangan dalam tradisi agama Kristian. Jika dilihat kepada kisah Adam and Eve, Adam telah memakan sebiji epal (buah larangan) dan kemudian telah dihukum dengan dihantar ke dunia. Adam memakan buah tersebut setelah diberikan harapan oleh Iblis yang mengatakan buah tersebut merupakan buah yang paling sedap di syurga. Selain muncul dalam kitab Bible, epal juga muncul dalam mitologi Greek, Norse dan Celtic yang mana dalam setiap mitologi itu, epal digambarkan sebagai simbol yang mistik dan penuh dengan harapan. Namun Mat Akhir melihat epal sebagai simbol yang berbeza. Ianya dilihat sebagai satu simbol kepada pengharapan. Epal yang seringkali dilihat sebagai satu objek sensual dan mengghairahkan juga rapuh pada zahirnya. Ianya umpama satu simbolik kepada pengharapan dan impian. Adakah harapan itu dipergunakan sepenuhnya atau dipersiakan? Selain menggunakan epal, beliau juga menggunakan subjek figura untuk melambangkan kepada zat kehidupan, kepayahan serta baik dan buruk.
Khairul Arshad menggunakan subjek pokok (tumbuh-tumbuhan) dan bangunan untuk menzahirkan konsep perkembangan atau pembangunan dalam kesemua empat (4) karya beliau. Pokok boleh dilambangkan sebagai tumbuh manakala bangunan sebagai simbol bina. Tumbuh dan bina merupakan kata kunci dalam merungkai karya Khairul yakni pertumbuhan atau pembinaan kepada diri. Tumbuhan dan bangunan; dua entiti berbeza sifatnya namun Khairul Arshad dapat menggabungkan kedua-duanya sekali. Tumbuhan yang sifatnya organik bertentangan dengan bangunan yang bersifat geometrik. Tumbuhan yang sifatnya organik menjadi perlambangan kepada sifat rohani manusia manakala bangunan yang geometrik ialah tubuh fizikal manusia itu. Kedua-duanya bertentangan namun saling memerlukan antara satu sama lain.
“Setiap pagi bila kita bangun pasti kita akan bertanya, apa yang aku nak buat hari ini? Adakah aku akan lakukan sesuatu yang lebih baik dari semalam? Atau aku akan buat macam biasa saja? Persoalan-persoalan ini yang menjadi salah satu kunci kepada karya aku.” (temubual bersama Khairul Arshad)
Pertumbuhan di sini bermaksud menjadi lebih baik daripada sedia ada. Bagaimana seorang individu itu menjadi lebih baik dari semalam dan hari-hari sebelumnya? Selain itu, karya-karya Khairul menegaskan kepada keperibadian seseorang – pendirian, kepercayaan, peluang dan kekuatan. Khairul menggarap setiap karyanya berdasarkan kehidupan sehariannya dengan menjadikan dirinya sebagai subjek. Self-Landscape melambangkan kepada diri, bagaimana seniman menjadikan diluar kebiasaan dengan menggunakan lanskap sebagai ganti kepada self-portrait. Pada kebiasaannya self-portrait melambangkan kepada sifat-sifat sejadi seseorang melalui riak muka, emosi dan ekspresi namun dalam melihat karyanya ini, ianya lebih kepada perlambangan kepada proses pembinaan dan pertumbuhan diri. Pertumbuhan diri berkait rapat dengan pendirian, nasib dan peluang seseorang. Bagaimana seseorang itu menggunakan setiap peluang yang ada dalam proses pembinaan diri dan menjadi lebih baik pada hari-hari mendatang.
5
PAKSI! Apakah itu PAKSI? Adakah ianya merupakan teras atau dasar yang harus diikuti? Atau ianya merujuk kepada garis ufuk yang berada di tengah?Adakah PAKSI yang terbentuk secara tidak sengaja ini merupakan teras atau dasar yang ingin dizahirkan oleh ketiga-tiga seniman muda ini? Adakah ianya titik tengah yang akan menghubungkan Khairul Arshad, Arikwibowo Amril dan Mohd Akhir Ahmad menjadi satu dalam mengharungi dunia seni ini?